Siaran Akhbar Majlis Pelancaran Persidangan Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru Ke-29 Tahun 2019

KEMENTERIAN PENDIDIKAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SIARAN AKHBAR

MAJLIS PELANCARAN PERSIDANGAN HARI GURU SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KE-29 TAHUN 2019

HARI KHAMIS
17 OKTOBER 2019M


TUNGKU LINK, GADONG – Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Pendidikan hari ini telah mengadakan Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Ke-29, Tahun 2019. Persidangan yang berlangsung selama satu hari ini diadakan di Dewan Canselor dan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan Persidangan Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru Ke-29, Tahun 2019 ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Hamzah bin Haji Sulaiman, Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam Turut hadir ialah Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan.

Tema Persidangan Hari Guru pada kali ini ialah “Memperkasa Kecemerlangan Pendidikan Melalui Inovasi” yang selaras dengan tema Hari Guru Ke-29 bagi Tahun 2019 iaitu “Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar”.

Persidangan ini adalah bertujuan untuk memberi peluang bagi para pendidik, penyelidik, pakar, pengubal dasar serta pemimpin sekolah dari pelbagai bidang pendidikan untuk mengongsikan, membincangkan serta memperolehi pandangan lebih mendalam mengenai pengetahuan praktikal dan teori untuk program dan strategi inovasi bagi meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini.

Selain itu, ianya juga bertujuan bagi menyediakan landasan bagi guru untuk berkongsi dan membincangkan strategi intervensi terbaik bagi: (1) meningkatkan prestasi pelajar, (2) meningkatkan pengetahuan mereka mengenai pelaksanaan strategi-strategi tersebut di dalam kelas, dan (3) memahami kepentingan aktiviti intervensi bagi meningkatkan prestasi pelajar. Persidangan ini menekankan 6 sub-tema utama: (i) Kemahiran Literasi dan Numerasi; (ii)Pedagogi Inovatif dalam Pendidikan Dewasa; (iii)Pendidikan Teknologi Digital; (iv) Amalan Inovasi Pendidikan Awal; (v) Action Research dalam Pendidikan; dan (vi) Keperluan Khas dalam Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mulia Ustaz Zakaria bin Hj Mohd Salleh, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kg Pulaie dan seterusnya ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Pengerusi Bersama majlis iaitu Yang Mulia Pengiran Hajah Mas Joliwane binti Pengiran Haji Tejudin, Pemangku Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP), Kementerian Pendidikan.

Dr. Teo Chew Lee, Penyelidik Saintis Kanan dari The National Institute of Education (NIE), Nanyang Technological University (NTU), Republik Singapura selaku penceramah undangan peringkat antarabangsa telah menyampaikan ucaptama mengenai penekanan tentang kepentingan inovasi dalam pendidikan. Semasa persidangan tersebut, para peserta juga berpeluang melihat 5 persembahan poster yang dipamerkan oleh para guru dan mahasiswa/mahasiswi Sarjana Perguruan (MTeach). Majlis diakhiri dengan sesi forum yang di oleh Yang Mulia Awang Eddy Fazlin bin Hamdan, Penolong Pengarah di Jabatan Sekolah-Sekolah bersama dengan 3 ahli panel yang lain iaitu Awang Haji Mat Dani bin Haji Abu Bakar, Guru Besar Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Dayang Nadia Kadir dari Microsoft Brunei Sdn. Bhd.; dan Dayang Emily Tham, Guru Matematik di Chung Hwa Middle School.

Pada sebelah petang pula, persidangan diteruskan dengan pembentangan sebanyak 30 kertas kerja bagi sesi selari yang telah disampaikan oleh guru-guru dan ahli akademik tempatan, mahasiswa/mahasiswi dan graduan yang baru menamatkan pengajian dalam Sarjana Perguruan (MTeach) dalam bidang yang seiring dengan sub-tema persidangan. Guru-guru juga dapat mengikuti bengkel yang diselenggarakan oleh akademik dari SHBIE, Universiti Brunei Darussalam. Bengkel ini berhasrat untuk memberikan para peserta pengalaman praktikal dalam strategi inovasi agar dapat diterapkan ke dalam penyediaan pembelajaran.

Persidangan Hari Guru pada tahun ini diselenggarakan bersama oleh Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan dan Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam.

Seramai 282 orang peserta yang mewakili pelbagai peringkat sekolah rendah, menengah, maktab dan institusi-institusi pendidikan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama di Negara Brunei Darussalam hadir menyertai persidangan ini.

Turut hadir di persidangan ini ialah Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti POKLW DSS Haji Awg. Abd Aziz, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam; Yang Mulia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali; Yang Mulia Awang Haji Ady Syarmin bin Haji Md. Taib, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Yang Mulia Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Ra’es KUPU SB; Yang Mulia Dr. Chin Wei Keh, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan; Yang Mulia Dayang Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan; Pengarah-Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan.

– T A M A T –

* Disertakan aturcara Persidangan dan Jadual Sesi Selari

Disediakan oleh: Jawatankuasa Publisiti, Persidangan Hari Guru, Sempena Sambutan Hari Guru Kali ke-29 Tahun 2019 Kementerian Pendidikan dan SHBIE

Leave a Comment